BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 14, 2008

Menjadi Naurah

“Kak Naurah, papa dah nak balik.”

Madeleine tersengih girang di muka pintu tatkala saya tiba tengah hari itu. Saya tersenyum. Gadis kecil berusia empat tahun itu saya capai ke dalam dukungan. Pipi mungil dinatari bintik-bintik coklat itu saya kucup kedua-dua belah. Dia meringkik tertawa.

“Gelilah kak…” rengeknya manja.

“Kau terlalu memanjakan dia, Naurah.”

Puan Johnston muncul dari tingkat atas. Saya menurunkan Madeleine, dengan arahan agar menukar seragam sekolah dan bermain di playroom.

“Nanti Kak Naurah datang,” janji saya.

Madeleine menurut tanpa bantahan. Rambut perang muda diikat ekor kuda itu berayun-ayun mengikut langkah kecilnya. Argh, comelnya!

“Alan sudah bebas. Kau tahu, Naurah?”

Pertanyaan Puan Johnston merentap saya kembali ke alam realiti. Saya angguk. Ah, siapalah yang belum tahu? Pensyarah saya sehingga menangguhkan kelas. Dia mengerah beberapa pelajar lelaki mengheret peti televisyen besar dari dewan kuliah utama. Sesi lima puluh minit yang seharusnya diisi dengan perbincangan tentang dasar luar negara-negara Eropah akhirnya dipenuhi dengan menonton sidang akhbar dari Semenanjung Gaza. Alan Johnston, jurnalis BBC yang berada dalam tahanan Army of Islam selama 114 hari akhirnya dibebaskan. Alan Jonhston adalah suami Betty Johnston yang saya panggil Puan Johnston itu. Dia juga bapa Madeleine. Maka itu menjelmakan dia sebagai majikan saya.

“Tahniah, puan. Pasti puan tak sabar menunggu kepulangannya.” Saya menyahut seadanya. Sebolehnya, saya mahu mengelak memperkatakan perkara ini. Selama penahanan Tuan Johnston, tempat saya selaku pengasuh Madeleine tidak pernah aman. Puan Johnston, meskipun dihimpit kebimbangan dan ketakutan, masih melayan saya sebaiknya, seadilnya. Tetapi ahli-ahli keluarga kembangannya yang lain tidak sebegitu terbuka.

“Kata Alan, pembebasannya diusahakan Hamas.”

Saya mengangguk. Tampang Ismail Haniyeh mengembang di ruang mata. Seperti saudara-saudara lelaki saya seramai tiga orang itu, saya turut meyakini kewibawaan pucuk pimpinan Hamas itu tanpa belah bagi.


"Siapa bilang Hamas perosak, pengganas? Saya mengaku, pertubuhan ala militia itu sedikit radikal. Tetapi, seperti selalu-selalu ditegaskan walid kepada kami empat beradik; Musuh kita Yahudi Zionis; manusia penipu, pembohong. Andai pendekatan berlemah-lembut digunapakai, tidak mustahil kita jugalah yang akan digula-gula!"

Kepimpinan Haniyeh terserlah apabila Hamas memenangi 74 daripada 132 kerusi perwakilan dalam pilihanraya umum Palestin pada awal tahun 2006. Komitmennya untuk mendamaikan Gaza dan Ramallah jelas melalui kesediaan duduk semeja dengan Mahmoud Abbas dan para pemimpin Fatah di Mekah.
Meskipun kemudiannya dilucutkan daripada jawatan Perdana Menteri dan kerajaan campuran Hamas-Fatah dibubarkan, Haniyeh tuntas mengatur strategi menguasai Semenanjung Gaza; lajur kecil berkeluasan 36 meter persegi di pinggir Laut Mediterranean, satu-satunya daerah Palestin yang bebas daripada sebarang kekuasaan militari Israel.

Namun, puncak kebijaksanaan Haniyeh tentulah pembebasan Tuan Johnston. Pensyarah saya berpendapat Haniyeh cuba mengutip sokongan dunia, barat terutamanya. Saya kurang setuju, kerana selama ini pun Hamas dimusuhi para oksidentalis. Jadi, jikalau embargo ekonomi ke atas Gaza diteruskan sekalipun, itu bukan kudis.

Tanpa sedar saya mengorak senyum. Puan Johnston mendesah nafas. Lamunan saya tercantas lagi. Saya merapatkan kening.

“Begini, Naurah,” Puan Johnston hati-hati mengatur bicara. Saya memasang telinga.

“Untuk meraikan kepulangan Alan kelak, aku bercadang mengadakan keraian. Bukanlah yang besar-besar, tapi khas suntuk keluarga terdekat. Ibu bapa Alan, ibu bapaku serta adik beradik kami. Oleh sebab kau sudah jadi sebahagian daripada keluarga ini, kau juga dijemput bersama.”

Saya menelan liur. Kalau boleh, saya tidak mahu menolak. Jikalau Puan Johnston mengalu-alukan saya sebagai keluarga, saya sendiri apatah lagi. Rumah ini sahajalah dunia saya; selain kampus, dan kampung halaman yang beribu-ribu batu jauhnya. Tetapi, mengenangkan layanan ‘kelas pertama’ ahli-ahli keluarga Johnston yang lain, saya tawar hati. Puan Johnston memahami. Dia menggosok-gosok bahu saya.

“Mereka bukannya berniat buruk, Naurah. Maafkanlah mereka. Kejahilan kadang-kala membutakan, sehingga terbit kebencian.”

Saya memanggung kepala. Banyak yang saya lindungkan daripada pengetahuan Puan Johnston. Setakat maklum kepadanya, saya sekadar diserang secara verbal oleh kaum kerabatnya.
Ah, kalau hanya digelar-gelar, peribadi saya tidaklah sehingga tercedera. Sudah kalih, bahkan. Malah, pasca letupan bom sekitar London dua tahun lalu; saya masih terlalu baru di England ketika itu, saya pernah ditohmah-tohmah lebih buruk. Tetapi, apabila saya sibuk mengosongkan sinki seusai menidurkan Madeleine pada suatu malam, adik lelaki Puan Johnston kemabukan dikocak tin-tin Heineken merentap selendang pashmina yang meliliti kepala, leher dan dada, serta cuba pula memperlakukan yang tidak senonoh; kesabaran saya tergugah. Saya tegas menolak. Dia keberangan, bingkas. Tangan saya dikilas kasar. Lebihan Heineken dicurah-curah ke serata tubuh saya. Belum puas, dia mencengkam kedua-dua belah rahang agar mulut saya terbuka. Heineken dituang pula ke dalam kerongkong.
Betapa saya meronta, melawan. Ruang tamu cuma dipisahkan pintu, dan sarat penghuni pula, namun tiada siapa mampir membantu. Ibu Tuan Johnston, dalam perjalanan ke bilik air barangkali, mengerling bosan dan menitipkan sepatah; Jangan dibunuh perempuan itu sudahlah. Nanti jadi kes homisid.
Kesudahannya – Madeleine. Entah bagaimana anak kecil itu terjaga dan digerakkan hati menjejak ‘Kak Naurah’ di dapur. Dia membenamkan gigi lalu menggigit kuat betis bapa saudaranya, sekaligus menyelamatkan saya.

Puan Johnston tidak tahu, kerana ketika itu dia sedang berdengkur halus di kamar peraduannya setelah menelan beberapa butir pil penenang yang dipreskripsikan doktor. Manakala Madeleine; saya merasuahnya dengan kunjungan rutin ke taman permainan setiap petang.

"Jangan beritahu mama, ya?" Pinta saya.

Mujur dia mahu. Insiden itu kekal menjadi rahsia eksklusif kami. Tetapi, sebagaimana didiamkan sekalipun, malam jahanam itu tetap terselit dalam ingatan saya sampai bila-bila.
Puan Johnston benar; kejahilanlah yang memutikkan kebencian. Pernah beberapa kali saya mengimbasnya kembali, kemarahan beraja bertukar simpati. Inilah natijahnya andai manusia enggan saling mengenali. Asalkan Islam, habis dipukulrata sebagai perosak, pengganas. Terlalu sedikit yang saya ketahui tentang Army of Islam, kumpulan pemberontak yang mengaku bertanggungjawab menculik dan mengurung Tuan Johnston, selain daripada ia didalangi keluarga Doghmush yang terkenal samseng di Palestin sehingga digelar orang Sopranos of Gaza, persis rancangan televisyen dari Amerika Syarikat itu. Tetapi menurut walid, kemungkinan besar juga ia menerima dana pembiayaan asing. Boleh jadi Al Qaeda. Modus operandi menculik expatriat bukankah trademark Osama Laden?

Ah, inilah sebenarnya yang paling memalukan dunia Islam. Kegagalan umat Islam menghayati dan mengamalkan syariat memakan diri. Mereka lupa, segala tingkah dan perlakuan itu juga cerminan terhadap kemuliaan agama. Akibatnya, berlaku salah faham yang mula-mula kelihatan kecil, namun dalam jangka masa panjang akan mengikis penghormatan terhadap Islam itu sendiri.
Justeru, saya di persimpangan. Berdalih dan menghampakan bererti saya berdendam. Sedangkan Islam menganjurkan agar bermaaf-maafan. Namun untuk menerima, tidakkah itu mengisyaratkan saya terlalu mudah berkompromi?

Tuhan sahajalah yang tahu bahawa saya paling pantang diambil mudah. Malah, rentetan titik hitam itu, saya nekad berhenti kerja. Puan Johnston mencerlung anak mata saya.

Dia mengujar lembut; “Naurah, hubungan kita; kau dan Maddie, bukan lagi pengasuh dan anak jagaan. Jangan sekali-kali kau lupa itu.”

Saya mengeluh kecil.
Ya, saya pernah bertekad berhenti kerja. Meski pun kasih sudah jatuh pada keletah Madeleine yang menghiburkan, kendati pun walid berkali-kali mengutus perutusan agar berjimat kerana dia suntuk belanja sepurnama dua ini. Namun saya cekalkan hati. Surat peletakan jawatan sudah pun saya taip, cetak dan lipat cermat. Ia tersemat kemas di dasar tas ketika saya membunyikan genta di hadapan kediaman keluarga Johnston sebelum sabar menanti Madeleine berlari lincah membukakan pintu.
Tetapi Madeleine yang saya tunggu-tunggu tidak juga kunjung tiba. Dalam debar, saya mengetuk. Setelah itu juga gagal membuahkan hasil, saya mendail telefon sel Puan Johnston. Sebaik-baik talian bersambung, gegendang saya dibingitkan raungan wanita itu.

"Maddie, Maddie kecelakaan, Naurah! Tolong..!"

Saya cemas berkejar ke Great Ormond Street Hospital. Sampai sahaja di sana, Puan Johnston dalam esakan menggila memberitakan Madeleine tenat. Dia sedang bertarung nyawa di bilik bedah dan memerlukan darah. Puan Johnston kenanaran, kerana dia bukan penderma sesuai. Tolong, tolong, Naurah! Dia kesesakan ikhtiar merayu-rayu. Saya tidak berlengah. Selaku pemilik darah jenis O negatif, saya adalah penderma universal. Tambahan pula, menderma darah bukanlah suatu kejanggalan. Semenjak hari lahir kelapan belas, saya menderma sekali setiap tiga bulan. Walid yang menganjurkan begitu. Di tanah air saya, darah adalah komoditi paling berharga. Lebih mahal dari intan permata, malahan.

Satu pain darah saya kini menyatu dengan Madeleine. Sebetulnya, perasaan saya berbaur. Puan Johnston menggelar saya savior (penyelamat). Namun secara peribadi, saya menganggap itu sebagai tanggungjawab manusiawi. Laksana Ismail Haniyeh mengusahakan kepulangan Tuan Johnston yang langsung tidak dikenali, masakan saya tegar mengabaikan Madeleine yang saya peluk cium sehari-hari?
Saya mengangguk perlahan.
Malam itu, sepulangnya saya ke bilik penginapan di kolej kediaman berhampiran kampus universiti, saya berasa terpanggil untuk menyelongkar tas yang sudah berbulan-bulan tidak saya kemasi.
Merungkup segala isi, sepucuk sampul putih melayah jatuh. Saya menyambut. Nama Puan Johnston tertera. Saya tetas bucunya. Sehelai kertas bercetak saya bentangkan. Mata tertancap pada tandatangan ringkas di akhir perenggan. Saya tersenyum sendiri sebelum surat peletakan jawatan itu saya renyukkan.

Naurah Haniyeh.

0 comments: